Assalamualaikum

Followers

Thursday, 15 December 2011

KIRA DAH HEBAT SANGATLAH IMAN KAMU!!

                                                Mengenai Gambar-Sekadar Hiasan

Pernahkah kita mengeluh akan cubaan dan dugaan yang Allah bagi?..Tidak pernah!?..Itu malaikat. Pernahkah kita mengaku beriman ketika badan ini sihat dan hati senang? Pernah!?. Itu kita. Jika pernah, sejauh mana kebenaran pengakuan itu? Adakah setelah datangnya cubaan dan dugaan? Adakah setelah kita berkehendak segala permintaan atau doa tidak termakbul hari ini juga dalam rasa tidak sabar menunggu?! Pernahkah kita rasai nikmat iman dalam mengharungi derita dan sengsara? Jika pernah...sebesar dan sebanyak mana penderitaan itu?!
Manakah yang besar penderitaan kita dengan derita Nabi Adam yang bersenang-senang dengan isterinya lalu diperintah keluar dari SYURGA? Penderitaan Nabi Nuh yang menyeru umat menerima Islam sedangkan ANAKNYA SENDIRI menolak dan disuruh menaiki bahtera, dengan bongkak.. ingkar..terus karam dalam keganasan banjir..di hadapan matanya sendiri!. Derita terus ditanggung bila ketetapan Allah mengatakan anak itu bukan ahli keluarganya lagi.
Pernahkah kita melihat iman Nabi Ibrahim diuji dalam derita apabila di suruh menyembelih ANAKNYA SENDIRI?. Tahukah kita di mana diletakkan NILAI CINTAnya, pada Allah atau anaknya?
Begitulah Nabi Yaakub dipisahkan dari anaknya Yusuf. Anaknya Nabi Yusuf diperdaya atau difitnah oleh seorang perempuan. Ayub ditimpa penyakit yang parah. Daud dan Sulaiman menghadapi banyak fitnah. Isa Al-Masih tidak terlepas dengan ujian juga,,apatah lagi Nabi Muhammad SAW..lebih-lebih lagi.
Pernahkah mereka semua mengeluh dan hilang sabar?! TIDAK kerana mereka yakin kepercayaan kepada Allah memerlukan perjuangan dan keteguhan. Mereka tiada membuat tuntutan zahir  kerana mereka sayang akan umat dan yang UTAMA, sebagai bukti mencintai Allah.
Maka apa lagi yang kita keluhkan kerana cubaan dan dugaan?! Setinggi mana darjat kita jika dibandingkan dengan derita dan sengsara para Nabi.
Marilah kita bersabar, bertawakal dan berani mencontohi para Nabi..Insyaallah

(Sesungguhnya tulisan ini untuk peringatan diri ku juga)           

Saturday, 10 December 2011

Sayu Rasa Hati Dengan Firman Allah Ini



Gambar-Gambar Sekadar Hiasan

Bersediakah kita sebenarnya dalam mendukung bebanan erti keikhlasan? Ikhlas dalam ertikata tiada campuran lain dan ia hanya semata-mata atau dengan sengaja. Sengaja kerana Allah belaka, tidak mendustai diri dangan kata-kata 'kerana Allah'..padahal dalam hati bersarang mahu dipuji, kerana mencari nama dan lain-lain. Ikhlas itu tidak dapat dipisahkan dari siddiq atau benar. Maka itu lahir nya ungkapan 'tulus ikhlas' @ 'telus ikhlas'. Orang yang mulutnya mengaku 'benar', tetapi hatinya berdusta, dia termasuk dalam golongan pendusta.
Dalam mengakui kesilapan dan menzalimi diri seseorang lantas menerima kemaafan dari individu yang disalaherti dan dizalimi, kedua pihak ini tidak dapat lari dari pangkal hati yang menuntut 'benar dan ikhlas' semata-mata kerana Ilahi. Mengakui kesilapan dan memberi kemaafan pastinya membersihkan diri dari kehinaan diri. Bukankah kedua-duanya bersangkut dengan EGO. Tingginya ego itukan.. hina. Namun mahukah kita menyucikan diri dengan sengaja 'benar dan ikhlas' kerana Allah setelah harga diri ini dicabuli dan dikhianati? Mahukah kita dihadapan Allah dengan kata-kata 'aku akui kesilapan atau aku maafkan', lantas Allah berfirman: 'Engkau dusta!'. Malaikat yang ada juga berkata: 'Engkau dusta!'.
Maka keikhlasan yang benar dalam erti 'kemaafan' amat penting pengakuannya di pangkal hati. Dalam kehidupan di dunia ini ianya jika dicapai bakal mententeramkan jiwa ini kerana bersih dari emosi marah dan dendam. Tidak hairanlah jika ada yang mengamalkan sebelum tidur dimaafkan semua orang yang menyakiti dan menganyai dirinya agar perolehi jiwa yang tenang dan tenteram untuk tidurannya.

Anas Radiyallahuan mengkhabarkan, bahawa pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Bahawa Allah berfirman maksudnya;

"Hai Bani Adam, selama engkau berdoa dan berharap terhadap-Ku, Aku ampunkan bagimu apa yang telah terjadi daripada kamu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."

"Hai Bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan bagimu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya."


"Hai Bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi asalkan engkau tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun nescaya aku isi semua itu dengan pengampunan."


http://baikiminda.blogspot.com/2010/01/perlunya-memaafkan-kesalahan-orang-lain.html

Allah itu Maha Pengampun. Sedia memaafkan hambaNya selagi tidak menyengutukanNya. Pengajaran yang membawa kesan  bermakna dalam kehidupan yang penuh dugaan ini melalui hadis di atas iaitu jiwa yang tenang dalam menghadap Allah di kehidupan yang kekal abadi. Memang dosa atau kesalahan sesama manusia perlu diselesaikan di dunia ini. Namun, siapalah kita ini di sisiNYA kalau nak dibandingkan berdasarkan hadis di atas. Moga-moga ini juga menjadi peringatan untuk diri saya sendiri dan para pembaca.



Monday, 5 December 2011

Pengemis Yahudi Pun Menangis Kerna Nabi SAW..??!!


Assalamualaikum. Aku risau pada situasi negara ini terutamanya yang melibatkan orang Melayu dan Islam. Bila di sentuh hal Islam ..kita lihat Melayu yang akan bangkit bersungguh2 sehingga demostrasi dan sengketa berlaku, lagilah sekiranya isu Islam ini disentuh oleh bangsa lain. Benarkah Melayu kita ini bangkit kerana penghayatan sepenuhnya tentang meninggalkan yang mungkar dan menuruti apa yang disuruh. Keperibadian dan dakwah cara Rasulluallah adakah dengan cara nak naik angin, gaduh, belasah atau demonstrasi. Tidak malukah kita kepada Rasulluallah. Sedarkah kita dalam masa cuba pertahankan, kita juga mencemarkan imej Islam yang dibawa oleh Rasulluallah. Ku petik sedikit kisah mengenai keperibadian Rasulluallah dan seorang dari bangsa yang kejam iaitu, pengemis Yahudi yang buta.
Dari Aisyah rd.ha. Rasulluallah setiap pagi akan menyuruh beliau menyediakan sedikit makanan untuk Baginda SAW bawa ke pasar untuk seseorang. Individu tersebut ialah seorang pengemis berbangsa Yahudi. Maka setiap pagi pengemis Yahudi dan buta ini akan disuap olah Baginda SAW tanpa rasa jemu dan Baginda tidak pernah berkata apa2 pun pada pengemis ini. Menurut Aisyah rd.ha..sepanjang Nabi SAW menyuap pengemis buta Yahudi ini..berbagai kata2 hinaan mengenai Rasullullah dilemparkan. Yang dikatakan ajaran Islam yang dibawa Rasulluallah sesat, tak betul dan lebih menyedihkan dikatakan Muhammad ini gila, bodoh dan berbagai2 kata hinaan. Namun, Rasulluallah berterusan menyuap pengemis ini dan mendengar sahaja kata2 hinaan darinya hari-hari sehingga Bagind SAW wafat. Apabila Rasulluallah wafat..Abu Bakar bertanya pada Aisyah rd.ha akan apakah aktiviti harian Baginda SAW semasa hayatnya maka Aisyah pun menceritakan pada Abu Bakar r.hu. Abu Bakar menyambung tugas Nabi SAW terhadap  pengemis tadi. Berita kewafatan Bagind disambut gembira olah musuh-musuh Islam termasuklah pengemis Yahudi ini. Setiba dipasar, Abu Bakar r.hu menyuapkan  makanan kepada pengemis Yahudi tadi.. tiba-tiba pengemis itu marah dan meluahkan semula makanan yang disuapkan olah Abu Bakar dan berkata " Kau bukanlah orang yang biasa menyuapkan aku makanan ini..orang yang biasa menyuapkan aku dapat aku rasakan kasih sayang dan kelembutan hatinya. Di manakah orang itu?"..tanya pengemis Yahudi yang buta itu. Abu Bakar terus menangis dalam sedih dan berkata " Maafkan akan daku kerana tidak mampu menyaingi akan sifat yang dimiliki oleh orang yang kamu maksudkan dan orang itu telah pun wafat meninggalkan aku dan kamu dialah Muhammad Rasulluallah yang engkau caci dan hina dan kau gembira akan kewafatannya selama ini (tipa kali ayat ini ku sebut..sedih sayu rasanya hati ini). Pengemis buta Yahudi itu terus meraung menangis dan menyesal serta merindui Nabi Muhammad SAW dan kerana cintanya pada ajaran dan keperibadian Rasulluallah dia memberitahu Abu Bakar yang dia memilih Islam sebagai agamanya. Lihatlah wahai pembaca sekelian akan contoh peribadi Nabi SAW, sedikit pun tidak pernah melenting malah sabar yang dimiliki kita patut contohi. Baginda tidak sedikit pun mencemarkan imej Islam dalam kisah ini.
Baginda SAW mahu orang bukan Islam faham apa itu ajaran Islam. Kita pada hari ini lebih suka bertindak kasar kononnya mendokong Islam tapi hakikatnya mencemarkan Islam. Pemasalahan sebenar dihadapi kita hari ini ialah kita gagal atau kurang pengukuhan iman untuk pertahankan Islam. Marah kita marah tak bertempat dan sepatutnya marahkanlah diri kita. Marah kita langsung tidak memikirkan untuk bawa bangsa lain di Malaysia ini untuk memahami dan memasuki Islam seperti kisah teladan Rasulluallah dalam kisah ini, Sedarlah..tanggungjawab kita dalam menyebarkan Islam ini masih belum selesai. Islam itu indah dan bukanlah Islam jika ianya melenting bertelagah..ingat Allah dan Rasullullah.


Thursday, 1 December 2011

Moga Pemergianmu Dengan Jiwa Yang Tenang..Arwah Nazri Samin 1/12/2011



Allahyarham Nazri Samin (1971-2011)

Gambar-gambar susana Allahyarham meninggalkan harta dunia yang hanya sementara.


Tiada apa yang hendak ku nukilkan lagi hanya doa dari aku untuk Allahyarham, moga kamu ditempatkan di kalangan hamba2 Allah yang ditetapkan iman. Telah kamu tinggalkan wahai Nazri sahabatku segala tipu daya dunia ini yang hanya bersifat sementara dan kini berada di pintu masuk ke alam akhirat yang kekal abadi. 
Ku doakan wahai sahabatku, moga kamu peroleh penghargaan Allah terhadap manusia yang sempurna imannya dan ianya juga adalah cita-cita dan harapan kami yang kamu tinggalkan terhadap Pencipta kita berasaskan pada terjemahan ayat ini:
 Surah Al-Fajr [ayat: 27-30]:
" Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah kamu ke dalam jama'ah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu".
Sekian..moga Allah perkenankan doaku ini wahai sahabatku. 

Friday, 5 August 2011

ADAKAH INI YANG ANDA LAKUKAN PADA MASA LAPANG?


Nabi SAW telah membaca satu ayat Al-Quran “ Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kerisauannya maka Allah akan memperkayakan hatinya dan harta benda dunia akan datang padanya dalam keadaan tunduk dan hina dan sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kerisauannya, Allah SWT akan menjadikan kemiskinan terbayang-bayang di hadapannya dan dia akan diselubungi kesusahan. Dia tidak akan mendapat di dunia lebih daripada apa-apa yang telah ditakdirkan”. ( Dipetik dari kitab at-Targhib; hadith riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi)

Rasulluallah terus bersabda bahawa Allah telah berfirman, “ Wahai anak Adam, lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, Aku akan memenuhkan dadamu dengan kekayaan dan Aku akan menghapuskan kemiskinanmu. Jika tidak Aku akan memenuhkan dadamu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menghapuskan kemiskinanmu.” ( Dipetik dari kitab at-Targhib).

Ini adalah firman Allah SWT dan sabdaan RasulNya, sedangkan kamu memikirkan bahawa orang Islam mundur dalam hal-hal keduniaan kerana alim ulama telah meletakkan halangan-halangan di jalan-jalan yang akn membawa kepada kemajuan. Cubalah teliti dengan pandangan yang wajar, kalaulah dunia ini menjadi keutamaan alim ulama maka kemajuan anda adalah asbab kegembiraan untuk mereka, kerana kesenangan dan kemewahan anda adalah sebab kesenangan dan kemewahan mereka juga. Namun demikian, jika mereka masih menegur dan cuba untuk mengislahkan anda maka pasti di sana ada sesuatu yang memaksa mereka sehingga sanggup mengorbankan kepentingan dunia mereka sendiri.

Sejauh mana para alim ulama terlibat secara bersungguh2 dalam ibadat dan tugas-tugas agama sejauh itulah mereka tidak menginginkan faedah-faedah duniawi malah hadiah-hadiah pun hanya akan diterima dengan sifat ‘istighna’(sifat kaya hati dan tidak memerlukan kepada makhluk sebaliknya berpada dengan kurniaan Allah)

Wednesday, 27 July 2011

AKHIRNYA BULAN JATUH JUGAK KE RIBA!!!


Hazrat Salman r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’ban:

“ Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang dalam bulan itu terdapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Satu bulan yang Allah telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan amalan-amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan yang lain.

Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya. Para sahabat r.an.hum lalu berkata, “ Bukanlah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “ Allah memberikan pahala itu kepada sesiapa saja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka”.

Semoga Allah mengurniakan limpahnya untuk kita mendapatkan syurga dan kelepasan daripada neraka.

Monday, 11 July 2011

MAKIN SIKIT, MAKIN SIKIT ..ALAHAI LICIN


Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Ammar bin Yasir katanya, “ Saya mendengar Rasullullah s.a.w bersabda, “ Sesungguhnya apabila seseorang telah selesai mengerjakan solah maka akan ditulis untuknya sebenyak sepeesepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga, seperdua daripada pahala solah (yang penuh).” (Hadith riwayat Imam Abu Daud)

Keterangan

Sebanyak mana tahap kekhusyukkan dan keikhlasan dalam solah seseorang maka sebanyak itulah ganjaran pahala yang akan diperoleh. Sesetengah orang akan mendapat sepersepuluh daripada ganjaran penuh, mengikut khyusuk dan khudunya dan sesetengah orang yang lain mendapat separuh. Begitulah sesetengah orang yang lain mendapat kurang daripada sepersepuluh dan ada juga yang mendapat lebih daripada separuh dan ada yang mendapat ganjaran penuh. Ada juga yang tidak mendapat ganjaran langsung kerana solahnya memang tidak layak mendapat sebarang ganjaran. Disebutkan dalam sebuah hadith bahawa Allah mempunyai satu alat ukuran khas untuk menghisab kekurangan yang terdapat dalam solah fardu. Disebutkan juga dalam banyak hadith bahawa khyusuk dalam solah adalah perkara pertama yang akan diangkat daripada manusia, sehingga tidak akan didapati seorang pun dalam satu jemaah yang bersolah dengan khyusuk ( Jami ul-Saghir)