Assalamualaikum

Followers

Tuesday 21 June 2011

JUAL KEBUN GARA-GARA MALU KERANA TERLALAI


Suatu ketika Hazrat Abu Talhah sedang bersolah dalam kebunnya. Seekor burung telah terbang. Oleh kerana pohon-pohon dalam kebun itu rendang, burung itu tidak dapat menemui jalan keluar dengan cepat. Burung itu berterbangan ke sana ke mari mencari jalan keluar. Beliau terpandang burung itu. Oleh kerana pandangannya itu, tumpuan hatinya beralih kepada burung itu dan matanya bergerak menurut burung itu.

Tiba-tiba beliau teringat akan solahnya dan beliau terlupa bilangan rakaat yang beliau telah kerjakan pada masa itu. Beliau terlalu sedih kerana  kebun tiulah beliau terkena musibah tersebut yakni terlupa dalam solah. Dengan segera beliau berjumpa Rasulullah dan menceritakan kisah sebenarnya, “ Disebabkan itu saya terkena musibbah yang sedemikian. Oleh kerana itu, saya serahkan kebun itu untuk jalan Allah. Tuan belanjakanlah kebun itu mengikut jalan yang tuan suka.

Demikian juga telah berlaku pada zaman pemerintahan Hazrat ‘Uthman r.h.u, seorang sahabat Ansari sedang bersolah dalam kebunnya. Pada masa itu buah tamar sedang masak di tandan. Disebabkan buah yang banyak dan berat, tandan-tandan itu tunduk ke bawah. Beliau telah terpandang tandan-tandan itu. Beliau gembira melihat tandan-tandan yang dipenuhi buah sehingga menyebabkan hatinya tertumpu kepada tandan-tandan itu.

Oleh kerana itu beliau tidak ingat bilangan rakaat yang telah berlalu. Kesedihan dan kerungsingan beliau begitu hebat sekali lalu beliau telah membuat keputusan nekad bahawa kebun itu tidak boleh dimilikinya lagi. Kebun itu telah menyebabkan musibah yang sedemikian menimpa ke atas beliau. Oleh sebab itu beliau telah berjumpa Hazrat ‘Uthman dan berkata “ Saya ingin membelanjakan kebun ini ke jalan Allah. Lakukanlah apa yang tuan suka.”

Hazrat ‘Uthman telah menjual kebun itu dengan harga lima puluh ribu dirham dan membelanjakan wang itu untuk kerja-kerja agama. [Muwatto’ Imam Malik]

Keterangan

Inilah tahap keimanan para sahabat r.anhum. Apabila terlalai dalam amalan yang begitu penting seperti solah, dengan segera mereka menyedekahkan kebun yang berharga lima puluh ribu dirham. Hazrat Shah Waliullah Dehlawi rah. menulis dalam kitab beliau al-Qaulul Jamil bahawa berdasarkan amalan salafussolehin, ahli tasawwuf mementingkan ketaatan kepada Allah lebih daripada segala sesuatu yang lain. Oleh kerana itu para sahabat begitu malu apabila tumpuan hati mereka beralih sedikit kepada perkara lain

Monday 20 June 2011

AMANAH , PENGHARAPAN DAN KETAKUTAN YANG JANGAN KITA LUPA HENDAKNYA.


Hazrat ‘Umar telah ditikam dengan pisau bermata dua yang menyebabkan beliau meninggal dunia. Sungguhpun darah sentiasa mengalir dan beliau kerapkali tidak sedarkan diri pada saat-saat akhir hayat beliau, namun dalam keadaan itu pun apabila diperingatkan tentang solah, beliau terus mengerjakan solah dan berkata, “Tiada bahagian dalam Islam bagi seseorang yang meninggalkan solah.”

Hazrat ‘Utman akan berjaga sepanjang malam dan akan mengkhatamkan seluruh al-Quran dalam satu rakaat solah.

Kebiasaan Hazrat Ali r.dhu pula, apabila menjelang waktu solah badan beliau akan menggigil dan wajah beliau akan menjadi pucat. Seseorang telah bertanya apa sebab berlaku demikian? Beliau menjawab, “Telah tiba masa untuk menunaikan amanah yang Allah telah tawarkan pada langit, bumi dan bukit-bukau. Langit, bumi dan bukit-bukau pun tidak dapat menanggung amanah itu tetapi saya (manusia) telah sanggup menanggung amanah itu.

Seseorang telah bertanya kepada Hazrat Hatim Asom rah. Perihal solah beliau. Beliau menjawab, “Apabila tiba waktu solah, setelah berwuduk aku akan pergi ke tempat solah. Aku akan duduk seketika sehingga seluruh badanku menjadi tenang. Kemudian aku akan berdiri untuk solah dengan membayangkan bahawa Baitullah di hadapan mataku, jambatan Sirat di bawah kakiku, syurga di kananku dan neraka di kiriku serta Malaikat Maut sedang berdiri di belakangku. Aku menganggap inilah solahku yang terakhir. Selepas itu aku akan tunaikan solah dengan penuh khusyuk dan khuduk. Kemudian aku akan berada dalam keadaan pengharapan dan ketakutan kerana tidak diketahui sama ada solahku diterima atau tidak.” [Ihya’ ‘Ulumuddin]

Friday 17 June 2011

MAMPUKAH KITA MENCAPAI TAHAP SEPERTI INI?


Mujahid rah. Meriwayatkan keadaan Hazrat Abu Bakar dan Hazrat ‘Abdullah bin Zubair bahawa apabila mereka bersolat, mereka berdiri seolah-olah sebatang kayu yang terpacak. [Tarikh Khulafa’] iaitu tiada sebarang pergerakan langsung.

Para ulama menulis bahawa Hazrat ‘Abdullah bin Zubair r.anhuma belajar solah daripada Hazrat Abu Bakar r.hu sementara Hazrat Abu Bakar r.hu belajar daripada Nabi s.a.w sendiri maka kedua-duanya telah bersolah cara Nabi s.a.w. Hazrat Thabit berkata, ‘ Keadaan Hazrat ‘Abdullah bin Zubair r.anhuma bersolah seumpama sebatang kayu yang terpacak di suatu tempat.

Pada suatu hari, semasa beliau sedang bersolah, anaknya yang bernama Hashim sedang tidur berhampiran dengan beliau. Seekor ular telah jatuh dari bumbung dan membelit anaknya. Anak it uterus menjerit. Seluruh ahli rumah datang berkejaran dengan hingar-bingar. Mereka telah membunuh ular tersebut. Sementara Hazrat’ Abdullahbin Zubair masih meneruskan solahnya dengan tenang. Setelah member salam beliau berkata, “Kedengaranmacam bunyi bising, apa yang berlaku?”. Isterinya menjawab, “Semoga Allah merahmati kamu, nyawa anak kamu hamper melayang tetapi engkau tidak sedar pun.”

Beliau berkata, “Nahas kau, sekiranya dalam solah, seseorang itu member tumpuan kepada sesuatu yang lain, bukanlah solah namanya.”[Muntakhab Kanz].

Tuesday 14 June 2011

ADA KAH PERKARA YANG TIDAK ANEH PADA RASULULLAH?


Seseorang telah memohon kepada Hazrat ‘Aishah r.anha, “Ceritakan kepadaku apakah perkara yang aneh yang kamu lihat pada diri Rasulullah s.a.w?

Rasulullah s.a.w Bersolah Sepanjang Malam

Beliau menjawab,”Adakah perkara yang tidak aneh pada diri Rasulullah? Setiap perkara yang dilakukan oleh Baginda s.a.w ialah aneh. Pada suatu hari, Baginda s.a.w telah pulang pada waktu malam dan terus berbaring di sisi saya. Kemudian Baginda s.a.w bersabda,”Biarkanlah aku. Aku ingin beribadat kepada Tuhanku.”

Setelah berkata demikian Baginda s.a.w terus berdiri bersolah dan Baginda s.a.w mula menangis sehingga air mata membasahi dada Baginda s.a.w. Kemudian Baginda s.a.w rukuk. Dalam rukuk pun Baginda s.a.w terus menangis. Kemudian Baginda terus sujud. Dalam sujud pun demikian juga, Baginda terus menangis. Setelah bangun dari sujud pun Baginda masih menangis, sehinggalah Hazrat Bilal datang melaungkan azan.

Saya telah bertanya, ‘ Ya Rasulullah, tuan menangis begitu banyak sekali sedangkan tuan ialah maksum-segala dosa dahulu dan sekarang(kalau ditakdirkan ada sekali pun) telah diampunkan Allah. Baginda menjawab, “ adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”. Selepas itu Baginda bersabda, “Betapa tidak aku melakukan demikian sedangkan hari ini ayat-ayat ini telah diturunkan kepadaku: [ Surah Ali-‘Imran: 190&191] yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan,kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang2 yang menyebut dan mengingati Allah s.w.t semasa mereka berdiri dan duduk dan (semasa) mereka baring mengiring dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata), “Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Terdapat dalam beberapa hadith bahawa Rasulullah s.a.w bersolah begitu lama sehingga kaki Baginda menjadi bengkak kerana terlalu lama berdiri. Orang ramai bertanya, “ Ya Rasulullah, tuan begitu bertungkus-lumus sedangkan tuan sudah diampunkan?” Baginda bersabda, “Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” : [Bukahari]

Monday 13 June 2011

ANDA BERKEHENDAKKAN KEKASIH YANG MELINDUNGI ANDA SETIAP MASA?


Dalam hidup yang perlu dilengkapi dengan ibadat, solat merupakan ibadat yang paling penting. Nabi saw bersabda, “SOLAH IALAH PEMBEZA ANTARA ISLAM DAN KUFUR.”

Firman Allah Terhadap Orang Yang Memperbanyak Solat Sunat

Allah berfirman (dalam hadith qudsi), “ Sesiapa yang memusuhi wali2Ku maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Tiada siapa yang dapat menghampiri Aku kecuali dengan apa yang Aku telah fardhukan, (Yakni, penghampiran kepada Allah paling banyak dapat dihasilkan dengan menunaikan segala amalan fardhu). Dengan perantaraan amalan sunat seseorang hamba itu akan berterusan dapat menghampiriKu sehingga Aku menjadikannya kekasihKu. Kemudian Aku akan menjadi telinganya yang dia mendengar dengan telinga itu. Aku akan menjadi matanya, yang dia melihat dengan mata itu. Aku akan menjadi tangannya yang dia memegang dengan tangan itu. Aku akan menjadi kakinya yang dia berjalan dengan kaki itu. Sekiranya dia meminta sesuatu daripadaKu pasti Aku tunaikan dan sekiranya dia meminta perlindunganKu terhadap sesuatu pasti Aku akan melindunginya.” [Jam’ul-Fawaid]

Keterangan

Maksud ‘menjadi mata dan telinga…..’ ialah penglihatan , pendengaran dan pergerakannya akan mengikut kesukaan Allah dan tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku bertentangan dengan keredhaan Allah. Alangkah bertuahnya mereka yang mendapat taufiq untuk memperbanyak amalan sunat setelah menunaikan amalan fardu dan seterusnya mendapat kelebihan ini. Semoga Allah dengan limpahanNya, mengurniakan kelebihan ini kepada kita semua.

TANGGUNGJAWAB YANG MASIH BELUM SELESAI


Assalamualaikum semua kepada pembaca posting pertama aku. Salam perkenalan ku ucapkan kepada yang sudi melayari blog ku ini. Untuk posting pertama ini biarlah aku menceritakan tentang blog ku yang tak secanggih mana namun akan ku cuba perbaiki. Sememangnya aku amat rugi apabila memikirkan waktu2 yang telah berlalu kerana memikirkan kecilnya sumbangan aku terhadap agama, bangsa dan negara. Aku salah dalam mentafsirkan ertikata sebenar apa itu ‘sumbangan’..dimana sumbangan yang nampaknya kecil dan diambil ringan rupa-rupanya ia membawa kepada satu tanggungjawab yang amat besar, terutamanya dalam menyambung usaha-usaha Rasulluallah dan para sahabat Rasulluallah s.a.w dalam berdakwah mengembangkan syiar Islam. Teringat aku akan kata-kata idolaku, Tun Dr. Mahathir bahawa kita masih ada tanggungjawab yang belum selesai. Apa yang aku faham..yang belum selesai itu ialah berdakwah iaitu menyampai dan menyebar Syiar Islam. Kalau ini usaha Nabi s.a.w, sebagai umatnya aku kena ikuti usahanya. Dengan itu melalui blog ku ini, aku berharap kita semua dapat menjalani kehidupan sebenar iaitu kehidupan dan amalan cara Rasulluallah s.a.w melalui pembacaan dan penyampaian hadis –hadis nanti..insyaallah. Mudah-mudahan Allah terima ibadah kita  ini..Ameen. Sekiranya ada hadis –hadis yang  kita kurang fahami..aku amat menghargai jika para pembaca dapat merujuk kepada ustaz2 anda untuk tujuan kefahaman dan seterusnya dapat dikongsi bersama dan sampaikanlah apa yang anda baca pada keluarga dan rakan-rakan kerana ianya satu ibadah..Insyaallah.